Pages

Lisan BM: Punca-punca Keruntuhan Akhlak Remaja

Tajuk lisan: Punca-punca Keruntuhan Akhlak Remaja
T: Yang berusaha, guru Bahasa Melayu kita, Puan Khoshiyatul dan rakan – rakan sekalian. Pagi ini kami akan membentangkan tajuk  “Punca-punca Keruntuhan Akhlak Remaja”. Hadirin sekalian, untuk menjayakan majlis forum ini, kami telah mempelawa tiga orang pelajar yang berwibawa untuk mengupaskan  tajuk ini secara terperinci. Saya Adele Briege selaku pengerusi majlis forum ini. Panel kita yang pertama merupakan seorang gadis ayu dan murah dengan senyuman, saudari Ling Mee Yien. Apa khabar saudari Ling?
L: Khabar baik. Terima kasih saudari pengerusi.
T:  Di sebelah kiri saya pula, seorang gadis kecil molek, sentiasa ceria dan bercita-cita tinggi ialah panel kita yang kedua, saudari Patina Kiah ak Michael. Apa khabar saudari Patina?
P: Khabar baik, saudari pengerusi. terima kasih.
T: Panel kita yang terakhir, seorang gadis cantik dan berlesung pipi, saudari Ann Ling Zing Toh. Saudari Ann merupakan ahli sukan dan pernah mewakili sekolah. Dalam acara apa saudari Ann?
A: Dalam acara Bola Jaring saudari pengerusi.
T: Wah, hebat juga saudari Ann!
A: Terima kasih saudari pengerusi.
T: Selamat datang semua. Baiklah, kita sedia maklum bahawa remaja merupakan modal insan dan pemimpin yang bakal mengambil alih pentadbiran negara pada masa hadapan. Namun, pada abad ke-21 ini, terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Tanpa membuang masa, kita mempersilakan ahli panel pertama untuk menyatakan pendapat mengenai isu ini dan siapakah harus dipersalahkan?
L: Terima kasih saudari pengerusi. Selamat sejahtera hadirin sekalian. Kata-kata saudari pengerusi memang tidak dapat dinafikan. Remaja adalah aset kekayaan tenaga manusia yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan sosial negara. Namun demikian, masalah akhlak remaja adalah ancaman kepada sumber tenaga manusia yang merugikan negara dalam jangka masa panjang. Berbalik kepada soalan tadi, siapakah yang harus dipersalahkan? Keruntuhan akhlak remaja juga dapat dilihat daripada pelbagai sudut dan banyak puncanya. Pada pendapat saya, pengaruh media masa mudah mempengaruhi perilaku para remaja yang masih mentah. Pelbagai dorongan kurang sihat dipaparkan melalui media massa dan seterusnya menyebabkan remaja terikut-ikut dengan pengaruh negatif. Kemajuan dalam komunikasi mengakibatkan remaja terdedah kepada nilai-nilai baru yang belum pasti baik bagi perkembangan diri. Pengaruh negatif ini dapat dilihat daripada majalah hiburan, buku-buku yang mengandungi unsur-unsur lucah serta radikal, televisyen dan tayangan filem barat. Apabila dilihat, kebanyakan akhbar mingguan, majalah hiburan dan buku-buku cerita di pasaran kini lebih mengutamakan hiburan, keganasan dan fantasi kosong. Bahan-bahan ini mendorong sikap negatif seperti suka mengelamun, berfoya-foya, bertindak lebih agresif dan pelbagai perlakuan anti-sosial. Sekali lagi saya tegaskan bahawa pengaruh media massa yang harus dipesalahkan. Sekian daripada saya, kembali kepada saudari pengerusi.
T: Ya, tidak dinafikan bahawa pengaruh media massa merupakan salah satu punca berlakunya keruntuhan akhlak remaja,ini daripada sudut pandangan saudari Ling. Terima kasih saudari.
L: Sama-sama.
T: Sidang hadirin sekalian, seperti yang dinyatakan oleh perpatah melayu, kepala sama hitam, hati lain-lain. Marilah kita menumpukan perhatian kepada panel kedua kita, saudari Patina. Bersama – samalah kita mendengar pendapat dan melihat sudut pandangan panel kedua tentang masalah keruntuhan akhlak remaja dan siapakah harus dipersalahkan?
P: Terima kasih saudari pengerusi. Selamat pagi dan salam satu Malaysia kepada hadirin sekalian. Memang tidak dinafikan bahawa masalah ini timbul kerana pengaruh media massa. Pada pendapat saya, masalah ini tidak lain dan tidak bukan merupakan salah diri remaja itu sendiri . Golongan remaja merupakan golongan yang begitu mudah dipengaruhi dan golongan yang berdarah panas. Mereka sama ada bersikap ingin mencuba sesuatu yang baru, ingin menarik perhatian orang ramai, mengingkari segala nasihat yang telah diberikan, salah memilih kawan atau lemah Iman. Sidang hadirin sekalin, marilah kita bersama-sama tepuk dada, buka minda. Sikap remaja yang sentiasa mendedahkan diri kepada ajakan nafsu yang menyebabkan mereka menyimpang daripada amalan nilai-nilai murni. Contohnya, untuk membuktikan bahawa mereka adalah hero maka mereka sanggup memecah masuk ke rumah orang, melakukan aksi-aksi yang ganas dan membahayakan diri. Sebanyak manapun nasihat kita lontarkan kepada golongan ini, tidak berguna. Perbuatan ini bagai hujan jatuh ke pasir.  Kita sebagai manusia, diberi pilihan termasuklah para remaja. Mereka diberi pilihan sama ada untuk meniti jalan yang betul atau jalan yang salah. Tanpa jati diri yang kuat, golongan remaja tidak akan mempunyai benteng untuk mengelakkan diri daripada pengaruh negatif. Jadi, saya tegaskan bahawa para remaja haruslah dipersalahkan dalam hal ini. Setakat ini sahaja daripada saya, kembali kepada saudari pengerusi.
T: Tetapi saudari Patina, pelbagai tindakan yang telah diambil oleh kerajaan bagi memberikan kesedaran kepada para remaja, termasuklah, pengenalan matapelajaran seperti Pendidikan Agama Islam, Pendidikan moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Mengapa pula ada segelintir pelajar masih belum menyedari akan kesalahan mereka sendiri?
P: Soalan yang sunguh menarik, saudari pengerusi. Tetapi  ini bukan soalan tentang kesedaran atau tidak, tetapi sama ada remaja itu sendiri ingin menerima dan mengamalkan sesuatu kebaikan atau menginkari segala nasihat yang telah dilontarkan kepada mereka. Seperti yang saya telah sebut tadi, manusia diberi pilihan.
T: Terima kasih kepada saudari Patina. Memang ada betulnya pendapat saudari. Masalah ini berpunca daripada remaja itu sendiri. Pemikiran remaja yang cetek akal menyebabkan mereka tidak mampu menilai baik buruk sesuatu perbuatan. Jadi tidak hairanlah mengapa mereka yang harus dipersalahkan dalam soal keruntuhan akhlak remaja. Baiklah, saya mempersilakan saudari Ann Ling untuk mengupas persoalan yang telah saya ajukan kepada panel pertama dan kedua kita dengan lebih terperinci.
A: Terima kasih saudari pengerusi. Terlebih dahulu, saya ingin ucapkan selamat sejahtera sidang hadirin sekalian. Masalah ini memang mempunyai pelbagai faktor.  Setiap punca berkait antara satu sama lain. Negara kita yang sedang membangun ke arah wawasan 2020 juga telah mendatangkan berbagai-bagai pembaharuan dari segi politik, ekonomi, sosial dan kemajuan teknologi. Hal ini menyebabkan ibu bapa zaman sekarang lebih sibuk berkerja untuk memenuhi keperluan fizikal menyebabkan mereka gagal memberikan keseimbangan terhadap keperluan rohani dan emosi. Mereka tidak mempunyai masa untuk mengawasi, mendidik dan meluangkan masa bersama anak di rumah.  Hal ini menyebabkan anak-anak kehausan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa yang sepatutnya menjadi teladan kepada anak-anak kerana apabila mereka masuk ke alam remaja, mata mereka dikaburi oleh perkara-perkara yang mudah mempengaruhi jiwa mereka. Remaja tidak seharusnya dipersalahkan seratus-peratus.
L: Maafkan saya saudari Ann. Izinkan saya mencelah dan menanyakan satu soalan.
A: Ya, silakan saudari Ling.
L: Terima kasih saudari Ann.  Ada juga sesetengah ibu bapa yang telah memberikan didikan dan kasih sayang yang mencukupi kepada anak – anak mereka. Tetapi ada segelintir daripada golongan mereka mengalami keruntuhan akhlak. Mengapa juga begitu?
A: Seperti yang saya telah sebut tadi, setiap punca saling berhubung kait. Tidak semua ibu bapa mengabaikan anak-anak mereka demi kekayaan harta. Seperti yang dinyatakan oleh saudari Patina, kita diberi pilihan untuk memilih sama ada kebaikan atau keburukkan. Bukankah begitu saudari Patina?
P: Tepat sekali, saudari Ann.
A: Namun, sekali lagi saya tegaskan bahawa, ibu bapa merupakan teladan yang tepat sekali buat anak- anak mereka. Kalau tidak, siapa lagi? Bukan semua rakan sebaya mampu mendorong mereka ke arah yang betul. Oleh itu, ibu bapa haruslah bertanggungjawab dalam membentuk akhlak terpuji anak-anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta mendapat perhatian daripada ibu bapa tidak akan tergamak melakukan perkara yang tidak bermoral sehingga mengecewakan ibu bapa mereka. Sekian daripada saya, kembali kepada pengerusi.
T: Kupasan-kupasan yang hebat sekali . Terima kasih kepada ahli panel yang ketiga. Nampaknya semua pihak memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan atau mengurangkan kadar peningkatan keruntuhan akhlak remaja. Eloklah pihak-pihak yang berkenaan membuka mata bagi merangka satu medium yang sesuai untuk para remaja meluahkan idea-idea mereka. Semua pihak harus tampil bekerjasama agar aset penting negara ini tidak dilekakan dengan aktiviti yang merugikan diri dan menggelapkan masa depan mereka. Kita haruslah memainkan peranan masing-masing dengan bekesan agar dapat membina modal insan di kalangan remaja. Dengan itu, saya akhiri forum kita hari ini. Sekian, terima kasih.